Rekod 8 Pertembungan Pearly-Thinaah vs Chen Qing Chen-Jia Yi Fan
August 1, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menumpaskan lawannya, Kim So Yeong dan Kong Hee Yong pada aksi suku akhir pada hari ini.

Namun begitu, kemaraan gandingan pemain berusia Alor Setar, Kedah dan Klang, Selangor itu menemukannya semula dengan pasangan No.1 dunia, Cheng Qing Chen dan Jia Yi Fan untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Sukan Olimpik.

Terdahulu, Qing Chen-Yi Fan menempah tiket separuh akhir selepas menumbangkan gandingan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva secara “straight set” 21-15 dan 21-8 dalam tempoh masa 41 minit.

Sebelum berlangsungnya pertembungan Pearly-Tan dan Qing Chen-Yi Fan yang dijadualkan bermula 2.30 petang (waktu Malaysia) pada Jumaat (2hb Ogos), kami persembahkan rekod pertembungan (head-to-head)

#1 Sukan Olimpik Paris 2024

Pertemuan ini baru sahaja berlangsung pada Sabtu (27hb Julai) lalu yang merupakan perlawanan pertama bagi kedua-dua beregu pada peringkat Kumpulan A. ianya berakhir dengan Pearly-Thinaah tewas secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 20-22 dalam tempoh 53 minit permainan.

#2 Terbuka Indonesia 2024

Pertarungan terakhir sebelum kedua-duanya berentap di Sukan Olimpik 2024 yang berlangsung pada 7hb Jun (Jumaat) di Istora Senayan, Jakarta ini turut berpihak kepada Qing Chen-Yi Fan. Pertemuan itu memperlihatkan gandingan pemain berusia 27 tahun masing-masing itu turut melakar kemenangan ke atas Pearly-Thinaah secara “straight set” 22-20 dan 21-18 sekaligus merampas tiket ke separuh akhir saingan berstatus Super 1000 tersebut.  

#3 Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2024

Kejohanan ini menjadi saksi kepada satu-satunya perlawanan yang disudahi dengan catatan kemenangan kemenangan ke atas Qing Chen-Yi Fan sejak dalam sejarah pertemuan mereka di pelbagai kejohanan antarabangsa. 

Aksi yang berlangsung pada pusingan 16 itu dimenangi Pearly-Thinaah secara “straigt set” menerusi skor 22-20 dan 21-16 dalam tempoh 49 minit sekaligus menghadiahkan tiket kemaraan ke peringkat suku akhir kejohanan terulung terbabit.

#4 Terbuka Jepun 2023

Sepertimana di Kejohanan Terbuka Seluruh England di atas, pertembungan di Terbuka Jepun turut berlangsung pada peringkat pusingan 16. Pearly-Thinaah terpaksa akur gagal menempah tiket suku akhir setelah tewas secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-13 dalam tempoh 43 minit.

#5 Terbuka Korea 2023

Kebanyakan pertembungan Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan berakhir  menerusi kemenangan atau kekalahan secara “straight set” namun di kejohanan ini, ianya berlanjutan sehingga memasuki tiga set permainan dengan masa permainan berlangsung melebihi satu jam lamanya.

Aksi yang mengambil tempat pada pusingan 16 bagi saingan bertaraf Super 750 ini dimenangi oleh Qing Chen-Yi Fan ke atas Pearly-Thinaah menerusi skor 21-17, 17-21 dan 21-19.

#6 Jelajah Dunia Akhir BWF 2022

Ini merupakan kali kedua Pearly-Thinaah dapat beraksi di kejohanan penutup bagi Jelajah Dunia BWF. Ketika bertemu Qing Chen-Yi Fan pada aksi kedua peringkat Kumpulan B, Pearly-Thinaah terpaksa akur tumpas secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam tempoh masa 42 minit. 

#7 Terbuka Denmark 2022

Pertembungan kedua Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan di pentas antarabangsa ini berlangsung pada pusingan kedua bagi kejohanan berstatus Super 750. Perlawanan ini menyaksikan Pearly-Thinaah tidak memberikan laluan mudah buat Qing Chen-Yi Fan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Qing Chen-Yi Fan terpaksa mengharungi tiga set permainan yang berlanjutan sehingga satu jam dan 13 minit lamanya sebelum dapat mengakhirinya menerusi skor 21-18, 20-22 dan 21-17.

#8 Malaysia Masters 2022

Pertembungan sulung melibatkan Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan dalam karier badminton mereka. Ianya berlangsung pada peringkat separuh akhir bertempat di Axiata Arena sambil disaksikan majoriti penonton tempatan. Pearly-Thinaah tumpas perlawanan ini secara “straighht set” menerusi skor 21-10 dan 21-19 dalam tempoh masa 43 minit.

Featured Image: Olympic Council Of Malaysia

Komen