Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhasil mengulangi sekali lagi kemaraan ke peringkat separuh akhir temasya Sukan Olimpik.
Ia menyamai pencapaian dilakukan oleh Aaron-Wooi Yik ketika beraksi di Sukan Olimpik edisi lalu yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada tahun 2021.
Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia mencetak kemaraan berkenaan dengan menumpaskan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty pada aksi suku akhir, pada hari ini.
Pertarungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berlangsung sengit menerusi skor 13-21, 21-14 dan 21-16.
Hampir satu jam lamanya pertarungan itu berlangsung sebelum Aaron-Wooi Yik dapat diangkat selaku pemenangnya.
Keputusan itu bukan sahaja mengekang gandingan No.5 dunia daripada mara ke peringkat separuh akhir bahkan mengembalikan semula rekod kemenangan selepas Aaron-Wooi Yik tumpas dalam tiga perlawanan terakhir di pentas antarabangsa apabila bertemu Satwiksairaj-Chirag.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Aaron Wooi-Yik akan membuat perhitungan semula dengan beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.
Wei Keng-Chang yang sekumpulan dengan Aaron-Wooi Yik mara ke peringkat yang sama selepas menumpaskan beregu Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto secara “straight set” 24-22 dan 22-20, sebentar tadi.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia