Olimpik 2024: Lee Zii Jia, Pemain No.3 Dunia Bertembung Di Suku Akhir
August 1, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia berhasil memastikan dirinya menjejaki peringkat suku akhir di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

 Zii Jia yang berusia 26 tahun mencetak kemaraan tersebut susulan menundukkan pemain tuan rumah, Toma Junior Popov pada pusingan 16 yang berlangsung, sebentar tadi.

Diberikan tentangan yang sengit dengan sokongan padu penyokong tuan rumah, Zii Jia berjaya mengatasi perkara tersebut dan menumpaskan pemain di ranking ke-20 dunia secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 24-22.

Hasil daripada kemenangan tersebut, Zii Jia kini telah melakar lima kemenangan berturut-turut ke atas Popov di pelbagai kejohanan antarabangsa sejak bertembung buat julung kalinya pada tahun 2016.

Sementara itu, pemain No.3 dunia dari Denmark, Anders Antonsen menanti Zii Jia di suku akhir bagi merebut slot ke peringkat separuh akhir.

Antonsen yang juga merupakan kawan baik Zii Jia dalam arena badminton mendapat “bye” pada aksi pusingan 16 dan mara secara terus ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan E.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen