Gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa akur tidak dapat melangkah ke perlawanan akhir bagi acara badminton dalam kategori beregu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ianya susulan pasangan pemain kelahiran Alor Setar dan Klang masing-masing itu tumpas di tangan beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan pada peringkat separuh akhir, pada hari ini.
Pertembungan yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan hasrat peminat serta rakyat Malaysia untuk melihat Pearly-Thinaah melangkah ke perlawanan akhir diranapkan Qing Chen-Yi Fan yang meraih kemenangan dengan skor 21-12, 18-21 dan 21-15.
Ini merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah di tangan lawan yang sama selepas tewas pada aksi pembukaan Kumpulan A secara “straight set” menerusi skor 17-21 dan 20-22.
Sungguhpun gagal melangkah ke perlawanan akhir, kempen Pearly-Thinaah tidak berakhir lagi.
Mereka akan turun perlawanan perebutan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Lawan yang akan dihadapi mereka samada beregu China yang menduduki ranking ketiga dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau beregu keempat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida – bergantung kepada keputusan perlawanan yang akan berlangsung sebentar nanti.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia