Olimpik 2024: Pearly-Thinah Menang 1 Daripada 10 Aksi Menentang Matsuyama-Shida
August 2, 2024 Hafizuddin Omar

Perebutan pingat gangsa dalam acara badminton bagi beregu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 akan menemukan gandingan negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Seperti ramai peminat dan rakyat Malaysia saksikan, hasrat untuk melihat Pearly-Thinaah mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik hancur berkecai apabila beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan berjaya menumpaskan gandingan negara pada peringkat separuh akhir, pada hari ini.

Sementara itu, Matsuyama-Shida yang merupakan gandingan Jepun – negara matahari terbit – yang menghuni ranking keempat dunia terkandas di separuh akhir susulan tewas kepada beregu China yang menduduki ranking ketiga dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning, sebentar tadi.

View this post on Instagram

A post shared by TEAM JAPAN (@teamjapanjoc)

Berbalik kepada perebutan pingat gangsa, gandingan negara yang menghuni ranking ke-12 dunia ini mempunyai rekod buruk apabila menentang Matsuyama-Shida.

Rekod menunjukkan kedua-duanya telah bertemu sebanyak sepuluh kali di pelbagai kejohanan antarabangsa sejak tahun 2020 lalu.

Daripada semua pertemuan itu, Pearly-Thinaah hanya berjaya melakar satu kemenangan iaitu ketika turun pada suku akhir Terbuka Perancis 2022 yang turut menyaksikan Pearly-Thinaah muncul juara di kejohanan bertaraf Super 750 terbabit.

Sembilan lagi pertemuan berakhir dengan kekalahan yang majoritinya adalah secara “straight set” iaitu di Piala Sudirman 2021, Indonesia Masters 2021, Terbuka Thailand 2022, Kejohanan Dunia BWF 2022, Terbuka India 2023, Terbuka Jerman 2023 dan terbaharu, Terbuka India 2024.

Hanya dua pertarungan Pearly-Thinaah menentang Matsuyama-Shida berakhir dengan kekalahan menerusi tiga set iaitu ketika bertemu buat julung kalinya di Kejohanan Badminton Asia 2020 serta pertemuan kedua di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2021.

Sementara itu, pingat emas bagi acara badminton kategori beregu wanita Sukan Olimpik Paris 2024 akan direbut oleh Qing Chen-Yi Fan dan Sheng Shu-Ning.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen