Olimpik 2024: Beregu No.1 Dunia Kekang Aaron-Wooi Yik Ke Final 
August 2, 2024 Hafizuddin Omar

Kemarau beregu lelaki negara untuk menjejaki pentas perlawanan akhir bagi acara badminton di Sukan Olimpik terus berpanjangan apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tumpas pada aksi separuh akhir.

Ianya berikutan pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu gagal menundukkan beregu No.1 dunia dari China iaitu Liang Wei Keng dan Wang Chang, petang tadi.

Pertarungan sengit yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengalami kekalahan pada set pertama menerusi skor 19-21.

Akan tetapi, Aaron-Wooi Yik berhasil bangkit pada set kedua dan mencatatkan kemenangan ke atas Wei Keng-Chang menerusi skor 21-15 sekaligus mengheret pertarungan ke set penentuan.

Pertarungan kian sengit dan mendebarkan disajikan oleh kedua-dua beregu pada set ketiga namun Aaron-Wooi Yik kehilangan rentaknya pada penghujung set ketiga dan terpaksa akur tewas 17-21.

Walaupun tewas, Aaron-Wooi Yik akan meneruskan kempennya di Sukan Olimpik Paris 2024 untuk merebut kilauan pingat gangsa.

Lawannya pula akan ditentukan selepas selesainya pertembungan melibatkkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik lalu, Lee Yang-Wang Chi Lin dan beregu Denmark yang menghuni ranking kedua dunia, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen, selepas ini.

Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara berjaya mara ke perlawanan akhir di temasya Sukan Olimpik adalah pada edisi yang diadakan di Rio, Brazil pada tahun 2016 menerusi gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen