Olimpik 2024: Lee Zii Jia Bertemu Juara Dunia Di Separuh Akhir
Hafiz Omar
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya meneruskan langkahnya ke peringkat separuh akhir di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Kemaraan itu terhasil selepas Zii Jia yang berada pada ranking ketujuh dunia berhasil menundukkan pemain Denmark merangkap rakan akrabnya, Anders Antonsen pada peringkat suku akhir, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Malahan pertarungan di Arena Porte de La Chapelle itu menyaksikan Zii Jia menyudahkannya dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-15 dalam tempoh masa 53 minit.

Keputusan tersebut menjadikan Zii Jia meneruskan rentetan kemenangannya ke atas Antonsen pada tahun ini selepas bertemu di suku akhir Malaysia Masters 2024.
Sementara itu, menantinya di peringkat separuh akhir adalah juara Kejohanan Dunia BWF 2023 dari Thailand iaitu Kunlavut Vitidsarn.
Pemain berusia 23 tahun terbabit mara selepas melakar kejutan ke atas pemain No.1 dunia dari China, Shi Yu Qi secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-10.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia