Olimpik 2024: Azeem Terakhir Lintasi Garisan Penamat Pusingan 1 – Catatan Masa 10.45s
August 3, 2024 Hafizuddin Omar

Kempen Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dalam acara pecut 100 meter (m) lelaki di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menemui penghujungnya.

Selepas melepasi pusingan kelayakan, Azeem terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Kota Paris apabila menamatkan perlumbaan pusingan 1 – Heat 2 di tempat kesembilan.

Bukan itu sahaja, masa lariannya pada perlumbaan terbabit iaitu 10.45s menutup sama sekali peluangnya untuk merebut tiga slot terakhir selain daripada tiga pelumba terpantas bagi Heat 1 hingga 8.

Sebagai perbandingan, catatan masa 10.45s itu lewat 0.03s berbanding dicatatkannya pada peringkat kelayakan, petang tadi. 

Bahkan catatan masa itu juga lebih lambat selama 0.09s berbanding rekod terbaiknya pada tahun ini, 10.36s yang dicatatkan ketika beraksi di Kejohanan Olahraga SEC 2024, Gainesville, Florida pada Mei lalu.

Sementara itu, tiga pelumba terpantas yang meraih tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir daripada Heat 2 ialah Ferdinand Omanyala, Chituru Ali dan Joshua Hartmann.

Ketiga-tiga pelumba dari Kenya, Itali dan Jerman itu mencatatkan masa larian 10.08s, 10.12s dan 10.16s masing-masing.

Komen