Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Terlepas Pingat Gangsa
August 3, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita negara yang yang melakukan penampilan pertama di temasya Sukan Olimpik iaitu Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa akur pulang ke tanah air tanpa membutirkan sebarang kilauan pingat.

Ianya selepas pasangan yang menghuni ranking ke-12 dunia terbabit tewas perlawanan penentuan pingat gangsa bertemu Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dari Jepun, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Pearly-Thinaah tewas secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-11 dalam tempoh masa 41 minit bertempat di Arena Porte de La Chapelle.

Keputusan itu bukan sahaja membuatkan mereka terlepas kesempatan untuk menjelmakan pingat yang pertama buat Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bahkan ianya turut menjadikan rekod pertemuan antara mereka menjadi 11 kekalahan daripada 12 pertemuan menentang beregu No.4 dunia itu secara keseluruhan di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Terdahulu, Pearly-Thinaah terpaksa turun ke aksi penentuan pingat gangsa selepas tewas 12-21, 21-18 dan 15-21 di tangan beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan.

Sementara itu, Matsuyama-Shida pula ke perlawanan yang sama susulan tewas kepada sepasang lagi beregu China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning menerusi skor 16-21 dan 19-21.

Untuk pengetahuan semua, pingat gangsa daripada kategori beregu wanita dalam sukan badminton yang dimenangi oleh Matsuyama-Shida itu merupakan yang pertama dibawa pulang Kontinjen Jepun dalam sejarah penyertaannya di Sukan Olimpik.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen