Pelari 18 Tahun Thailand Mara Ke Separuh Akhir 100m – Catat Masa 10.13s
August 3, 2024 Hafizuddin Omar

Puripol Boonson yang dilabelkan sebagai pelari pecut “wonderkid” Thailand berjaya melayakkan dirinya ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kemaraan itu hasil daripada pelari berusia 18 tahun ini menamatkan perlumbaan pusingan 1 – Heat 4 di tempat ketiga selepas Oblique Seville (Jamaica) dan Abdul Hakim Sani Brown (Jepun).

Puripol yang merupakan antara seteru rapat bagi pelari negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi di rantau asia tenggara menamatkan perlumbaan itu dengan catatan masa 10.13 saat (s).

Manakala Oblique dan Abdul Hakim pula melintasi garisan penamat bagi perlumbaan yang berlangsung di Stade de France itu dalam tempoh masa 9.99s dan 10.02s masing-masing.

Untuk makluman semua, Puripol menjadi satu-satunya pelumba dari rantau asia tenggara yang melangkah ke peringkat separuh akhir bagi acara pecut 100m.

Tiga lagi pelari dari rantau asia tenggara iaitu Azeem (Malaysia), Lalu Muhammad Zohri (Indonesia) dan Marc Brian Louis (Singapura) tidak melepasi saingan pusingan 1.

Sementara itu, Muhd Noor Firdaus Ar-Rasyid dari Brunei Darussalam pula terkandas seawal pusingan kelayakan.

Featured Image: Instagram Puripol Boonson

Komen