Selangor FC Bimbingan Nidzam Jamil Ke Pentas Akhir Piala FA 2024-25

August 3, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Nidzam Jamil yang diumumkan sebagai ketua jurulatih Selangor FC bermula sekitar pertengahan Mac lalu berjaya membawa pasukan berkenaan ke perlawanan akhir Piala FA 2024-25.

Nidzam yang juga bekas pemain skuad berjulukan Red Giants era 2000-an menempah tiket kemaraan tersebut selepas anak-anak buahnya berhasil melakar kemenangan 4-1 ke atas Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, hari ini.

Empat jaringan oleh Selangor itu disumbangkan oleh jaringan hatrik oleh kapten pasukan, Safuwan Baharudin pada minit 3, 6 dan 54 serta satu gol sumbangan Reziq Banihani pada masa kecederaan, minit 90+3.

Manakala jaringan tunggal oleh pasukan pelawat bimbingan Tomislav Steinbruckner pula dijelmakan oleh Ismaheel Akinade pada minit 22.

Jaringan-jaringan itu membolehkan Selangor meraih kemenangan 6-4 secara agregat mengatasi kemenangan 3-2 yang diraih Terengganu pada aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 19hb Julai lalu. 

Sementara itu, lawan bagi Selangor untuk perebutan ini akan diketahui malam esok selepas selesainya aksi separuh akhir kedua melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). 

Perlawanan akhir bagi merebut gelaran juara Piala FA 2024-25 dijadualkan pada 24hb Ogos kelak.

Untuk makluman, ini merupakan kemaraan kali kesembilan buat Selangor ke perlawanan akhir Piala FA sejak ianya mula dipertandingkan pada tahun 1990.

Sebagai rekod, Selangor telah mempunyai koleksi lima kejuaraan Piala setakat ini dan kali terakhir skuad Merah Kuning ini merangkulnya adalah pada tahun 2009 dengan menumpaskan Kelantan.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd