Satu kejutan dihidangkan kepada peminat sukan seantero dunia apabila acara pecut 100 meter (m) wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 dimenangi oleh Julien Alfred – pelari dari sebuah negara kepulauan di Carribean iaitu Saint Lucia.
Pelari berusia 23 tahun berkenaan muncul yang pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan akhir acara tersebut di Stade de France pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) dengan catatan masa 10.72 saat (s).
Catatan masa itu juga menjadi rekod peribadinya yang baharu serta rekod kebangsaan baharu dalam acara 100m kategori wanita bagi Saint Lucia.
Aksi penamat itu sekaligus membuatkannya mengatasi pelari pilihan dari Amerika Syarikat yang kini menghuni ranking pertama dunia, Sha’carri Richardson untuk merangkul pingat emas.
Untuk makluman semua, ini merupakan pingat emas pertama yang diperoleh Kontinjen Saint Lucia dalam sejarah penyertaan mereka di temasya Olimpik bermula edisi 1996 di Atlanta.
Sementara itu, Sha’carri, 24 tahun, yang muncul juara dunia pada tahun 2023 terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat gangsa Sukan Olimpik apabila menamatkan larian di tempat kedua dalam tempoh masa 10.87s.
Manakala, pingat gangsa pula dipungut oleh seorang lagi pelari dari Amerika Syarikat yang berusia 23 tahun, Melissa Jefferson yang merekodkan masa larian 10.92s.
Seperti ramai ketahui, penganjur, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak akan memberikan sebarang ganjaran berbentuk wang tunai kepada pemenang melainkan kalungan pingat emas di Sukan Olimpik.
Namun begitu, bagi temasya di Paris kali ini, World Athletics selaku badan induk olahraga dunia mengumumkan akan memberikan hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$50,000 kepada setiap pemenang pingat emas.
Featured Image: World Athletics