Pingat emas bagi acara badminton kategori beregu lelaki Sukan Olimpik sekali lagi menjadi milik Lee Yang dan Wang Chi Lin yang kini menghuni ranking ke-12 dunia.
Kilauan pingat itu menjadi milik gandingan Chinese Taipei yang berusia 28 dan 29 tahun masing-masing selepas berjaya menumpaskan beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad.
Dalam pertarungan tersebut, Lee-Wang meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 18-21 dan 21-10 dalam tempoh masa satu jam dan 12 minit di Arena Porte de La Chapelle.
Ianya merupakan satu kejutan melihat Lee-Wang meraih pingat emas Olimpik sekali.
Selain daripada perbezaan ranking yang ketara melibatkan kedua-dua beregu, gandingan Lee-Wang juga tidak berada dalam prestasi terbaiknya terutamanya sepanjang tahun ini.
Perkara itu dapat disaksikan dengan Lee-Wang terkandas pada pusingan 16 dalam kedua-dua kejohanan terakhir yang disertai mereka sebelum terbang ke Paris – Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura.
Empat penyertaan Lee-Wang dalam kejohanan pada awal tahun ini – Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Perancis – pula berakhir setakat pusingan 32 dan 16 sahaja.
Prestasi yang sedikit baik ditampilkan mereka hanya hadir ketika beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England, Terbuka Swiss dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) – mara sehingga peringkat suku akhir.
Kali terakhir Lee-Wang dilihat merangkul kejuaraan sebelum bertanding di Sukan Olimpik ini adalah semasa beraksi di Terbuka Jepun 2023 – satu-satunya kejuaraan diraih mereka selepas meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sebagai tambahan, Lee-Wang meraih pingat Olimpik pada edisi lalu hasil menumpaskan beregu China, Li Jun Hui dan Liu Yu Chen.
Featured Graphic: BWF