FIFA, FAM Lancar Program F4S Serta Kempen Bola Sepak Wanita
Hafiz Omar
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kolaborasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil melancarkan inisiatif FIFA Football for School (F4S) dengan kempen Bola Sepak Wanita FIFA.
Untuk pengetahuan semua, F4S memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama seperti mengintegrasikan aktiviti bola sepak di dalam kurikulum pendidikan, memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi dengan menyediakan latihan serta sumber peralatan kepada sekolah selain menawarkan bahan pendidikan serta latihan untuk tenaga pengajar.

Program ini bakal dilaksanakan di 237 buah sekolah seluruh Malaysia sekaligus menyaksikan 155 sekolah kebangsaan, 52 sekolah jenis kebangsaan serta 30 sekolah kebangsaan pendidikan khas bakal menerima bola F4S.
Sementara itu, kempen Bola Sepak Wanita FIFA akan menyaksikan KPM dan FAM bakal melancarkan klinik bola sepak wanita yang melibatkan peserta-peserta yang terdiri daripada murid perempuan sekolah menengah berumur bawah 15 tahun.
Ianya akan dilangsungkan di 17 venue di seluruh negara bermula 22hb Julai hingga 5hb November 2024.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek memaklumkan sebanyak 18 klinik bola sepak wanita telah dirancang di seluruh negara melibatkan satu siri klinik di semua negeri kecual Sabah dan Sarawak yang melibatkan dua siri klinik.
