Gara-gara didapati menghantar deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar, naib juara Piala AFC 2022 iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) hukuman berat oleh First Instance Body (FIB).
Menerusi satu kenyataan media dikongsikan Malaysian Football League (MFL) pada hari ini, KL City bimbingan Mirolslav Kuljanac dikenakan enam hukuman berdasarkan kepada peraturan, Lesen Kebangsaan dan Lesen AFC.
Bagi Lesen Kebangsaan, kesalahan bagi deklarasi yang tidak tepat atau tidak benar FIB menghukum skuad berjulukan The City Boys dengan tiga hukuman iaitu denda pemotongan sebanyak enam mata, denda sebanyak RM50,000 dan larangan perpindahan masuk pemain sehingga hujung musim 2024-25.
Manakala merujuk kepada kesalahan yang sama daripada Lesen AFC, KL City dikenakan tiga hukuman lagi iaitu tidak dibenarkan memohon Lesen AFC selama dua kitaran Pelesenan Kelab MFL (kitaran 2024-25 dan 2025-26), denda sebanyak RM50,000 dan Lesen AFC yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-24 bagi musim AFC 2024-25 dibatalkan.
Tidak terhenti setakat itu, kenyataan yang dikongsikan MFL turut menyatakan Ahli Lembaga Pengarah MFL juga boleh mengambil tindakan susulan ke kesalahan yang dilakukan oleh KL City terbabit.
Untuk makluman semua, hukuman ini dikenakan ke atas KL City ekoran didapati menyerahkan dokumen berkenaan caruman LHDN, KWSP dan Perkeso mengandungi maklumat tidak tepat atau tidak benar berdasarkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan.
FIB mendapati kesalahan itu setelah agensi-agensi kerajaan membuat pengesahan kepada FIB melalui emel, dimana agensi-agensi itu tidak dapat mengesahkan kesahihan dokuman yang diserahkan KL City kepada FIB sebelum ini.
FIB bertindak menyemak semula kesahihan surat deklarasi kelab mengenai LHDN, KWSP dan Perkeso yang dikemukakan oleh KL City sebelum ini selepas pendedahan mengenai tunggakan-tunggakan pasukan berkenaan dibuat oleh Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn. Bhd. (syarikat yang memiliki KL City), Syed Yazid Syed Omar selain mempertikaikan pemberian lesen kepada kelabnya oleg FIB.