Olimpik 2024: An Se Young Menang Emas, Tamatkan Penantian 28 Tahun Korea 
August 5, 2024 Hafizuddin Omar

Pingat emas bagi acara badminton kategori perseorangan wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi milik An Se Young.

Kilauan pingat itu menjadi milik pemain berusia 22 tahun tersebut selepas berjaya menumpaskan pemain China, He Bing Jiao pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Porte de La Chapelle, pada hari ini.

Se Young menamatkan pertemuan menentang Bing Jiao, 27 tahun, secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-16 dalam tempoh 51 minit permainan.

Kemenangan itu dirakamkan Se Young pada pertemuan ke-14 mereka dimana ini menjadi kemenangan kesembilan Se Young ke atas Bing Jiao.

Keputusan itu juga menamatkan kemarau selama 28 tahun pingat emas Kontinjen Republik Korea dalam kategori perseorangan wanita di Sukan Olimpik.

Untuk makluman, kali terakhir perseorangan wanita Korea memenangi pingat emas di Sukan Olimpik adalah menerusi Bang Soo Hyun ketika menyertai edisi Atlanta pada tahun 1996.

Kemenangan Se Young, pemain No.1 dunia, di pentas Olimpik ini menjadi koleksi kejuaraan individu bagi kejohanan Gred 1 terbarunya selepas menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023.

Featured Graphic: BWF

Komen