Kontinjen Malaysia kini mempunyai kutipan dua pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia menambah jumlah kutipan itu apabila berjaya melakar kemenangan ke atas pemain India, Lakshya Sen dalam perebutan pingat gangsa, sebentar tadi.
Bagaimanapun, skrip Zii Jia untuk membawa pulang pingat pertamanya daripada temasya Sukan Olimpik ini bermula dengan langkah kiri apabila terlebih dahulu tewas set pertama dengan skor 13-21.
Tidak mahu mengalah awal, Zii Jia, kelahiran Alor Setar, Kedah, bangkit mempamerkan permainan yang lebih agresif untuk mencatatkan kemenangan pada set kedua dengan skor 21-16 sekaligus mengheret Sen ke set penentuan.

Pada set ketiga, Zii Jia meneruskan rentak dan keagresifan permainannya ke atas Sen. disamping Sen yang berada di ranking ke-22 dunia tampak sedikit bergelut dengan balutan luka di bahagian sikunya.
Selepas lebih satu jam pertarungan itu berlangsung, Zii Jia berjaya menamatkan set ketiga itu dengan skor 21-11.
Selain menambahkan jumlah pungutan pingat buat Kontinjen Malaysia, ini merupakan kilauan pingat Olimpik sulungnya selepas terkandas pada pusingan 16 dan pulang dengan tangan kosong daripada edisi Tokyo 2020 lalu.
Terdahulu, beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memberikan pingat pertama buat Kontinjen Malaysia di Paris 2024 selepas meraih kemenangan ke atas beregu Denmark, semalam.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia