Nama perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen kini setaraf dengan legenda badminton dunia dari China iaitu Lin Dan di pentas Sukan Olimpik.
Ini susulan bekas pemain No.1 dunia yang berusia 30 tahun terbabit berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan Olimpik di Paris 2024 selepas memenanginya pada edisi Tokyo 2020.
Axelsen membutirkan satu lagi kilauan emas Olimpik dalam kariernya selepas berhasil menundukkan pemain Thailand yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023, Kunlavut Vitidsarn pada perlawanan akhir, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut, Axelsen mencatatkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-11 dalam tempoh masa 52 minit.
Keputusan itu turut menjadikan Axelsen kini mencatatkan tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan dengan Vitidsarn di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Bagi Kontinjen Denmark, kemenangan Axelsen ini menyumbangkan pingat emas pertama buat mereka dan menjadikan negara Scandinavia itu mengumpulkan dua pingat setakat hari ini.
Sebagai rekod, Lin Dan muncul perseorangan lelaki pertama merangkul dua pingat emas secara berturut-turut selepas meraih kemenangan ke atas Datuk Wira Lee Chong Wei pada perlawanan akhir Olimpik edisi Beijing 2008 dan London 2012.
Featured Graphic: BWF