Skuad tuan rumah, Perancis akan bertemu Sepanyol untuk aksi perebutan pingat emas bagi acara bola sepak lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pertembungan itu terhasil selepas kedua-dua pasukan berjaya menumpaskan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Perancis bimbingan penyerang legendanya, Thierry Henry mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mengatasi Mesir yang diperkuatkan dengan Mohamad Elneny dengan kemenangan 3-1.
Kedua-dua pasukan terlebih dahulu terikat 1-1 hasil jaringan Mahamoud Saber dan Jean-Philippe Mateta pada 62’ dan 83’ masing-masing sehingga memaksa pengadil melanjutkan perlawanan ke masa tambahan.

Bagaimanapun, Mesir terpaksa melupakan hasrat untuk membawa pulang pingat emas ataupun perak selepas Perancis berjaya menambah dua jaringan pada masa tambahan menerusi Jean-Philippe Mateta (99’) dan Michael Olise (108’).
Kemaraan tersebut merupakan yang ketiga buat Perancis dalam sejarahnya selepas edisi tahun 1900 dan 1984 yang menyaksikan mereka membawa pulang pingat perak dan emas masing-masing.
Sementara itu, Sepanyol melakar kemaraan selepas mencatatkan kemenangan ke atas pasukan seberang Selat Gibraltar iaitu Maghribi dengan keputusan 2-1.
Maghribi terlebih mencetak gol pembukaan bagi perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti oleh Soufiane Rahimi pada 37’ dan menutup aksi separuh masa pertama dengan mendahului 1-0.

Akan tetapi Sepanyol bimbingan Santiago Denia memastikan slot ke perlawanan akhir menjadi milik mereka dengan Fermin Lopez dan Juanlu Sanchez merembat bola masuk ke dalam gawang pada 66’ dan 85’.
Untuk makluman, ini merupakan kali kedua berturut-turut Sepanyol mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik selepas menjejakkan kaki di peringkat yang sama pada edisi Tokyo 2020 lalu.
Sepak mula perlawanan akhir untuk menentukan pemenang pingat emas bagi acara bola sepak lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 dijadualkan pada 6 petang pada Jumaat (waktu Perancis) atau 12 tengah malam Sabtu (waktu Malaysia).
Sementara itu, Mesir dan Maghribi akan turun untuk merebut pingat gangsa pada pukul 5 petang Khamis (waktu Perancis) atau pukul 11 malam Khamis (waktu Malaysia).
Image: Equipe de France de Football, Seleccion Espanola de Futbol