Pesta Bola Merdeka: Malaysia Elak Juara Bertahan Pada Pusingan 1
August 6, 2024 Hafizuddin Omar

Sesi undian Pesta Bola Merdeka 2024 menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan mengelak daripada bertemu juara bertahan, Tajikistan pada perlawanan Pusingan 1.

Sebaliknya, sesi yang berlangsung di Wisma FAM, pada hari ini meletakkan Malaysia yang kini dibimbing Pau Marti, pemangku ketua jurulatih, bertemu Filipina pada pusingan tersebut.

Tajikistan yang muncul juara pada edisi lalu selepas menumpaskan Malaysia 2-0 diundi menentang Lubnan yang menduduki ranking ke-116 dunia pada Pusingan 1.

Pemenang bagi setiap perlawanan Pusingan 1 akan mara ke perlawanan akhir untuk merebut gelaran juara manakala pasukan yang kalah akan ke penentuan tempat ketiga.

Aksi pertama dan kedua bagi Pusingan 1 dijadualkan berlangsung pada pukul 4.30 petang dan 9 malam masing-masing pada 4hb September (Rabu).

Manakala aksi penentuan tempat ketiga serta juara pula akan dilangsungkan pada 8hb September (Ahad) dengan sepak mula pada 4.30 petang dan 9 malam masing-masing.

Kesemua perlawanan ini akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Komen