LTdL 2024: Usia Sekadar Angka, Harrif Sedia Berkayuh Untuk TSG
Hafiz Omar
Pelumba berpengalaman negara berasal dari Terengganu, Mohd Harrif Saleh sedia menggalas cabaran Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) jika disenaraikan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Harrif menyatakan dirinya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu pasukan yang berpangkalan di negeri kelahirannya itu pada mana-mana kejohanan selagi kudratnya ditagih.
Sekalipun sudah menjengah usia 35 tahun, pelumba yang turut mesra dengan nama panggilan Mamat ini tidak melihat perkara itu sebagai batu penghalang buat dirinya untuk terus mencipta kejayaan gemilang bersama TSG.
“Bagi saya itu (umur 35 tahun) hanya sebagai satu angka… tak lebih daripada itu. Saya masih ada tenaga untuk terus berkayuh seterusnya membawa nama TSG ke puncak kejayaan.
“Saya mahu mengikut jejak seperti idola saya, Mark Cavendish.”
“Walaupun sudah berusia 39 tahun, tetapi dia masih mampu menggalas cabaran di peringkat kompetitif.
“Jadi, itu yang saya akan cuba lakukan dalam masa beberapa tahun ini.”
“Selagi khidmat dan kudrat saya diperlukan, selagi itulah saya akan terus berkayuh,” katanya.
Harrif mencipta sejarah tersendiri di pentas LTdL – antara perlumbaan berbasikal berprestij di rantau asia apabila memegang status sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan.
Harrif yang pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL melakukan penampilan ke-14 pada edisi 2023 – mengatasi rekod 13 penampilan terbanyak dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani.
Selain Harrif, turut berada dalam senarai sejarah penampilan terbanyak LTdL adalah dua bekas pelumba kebangsaan – Annuar Manan dan Loh Sea Keong apabila masing-masing merekodkan 12 penampilan.
“…saya rasa bertuah dan bangga kerana dapat mencipta sejarah sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan dalam perlumbaan LTdL.
“Jika tidak silap, saya mula beraksi (pada LTdL) ketika berusia 20 tahun.”
“Jadi, jika sekali lagi mendapat kepercayaan pasukan untuk beraksi tahun ini, ia akan menjadi satu lagi detik Istimewa buat saya.”
“Äpa pun, buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa. Ada satu kejohanan yang akan disertai di China nanti, jadi, saya akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.
Daripada 14 penampilan tersebut, Harrif meraih tiga kemenangan di LTdL iaitu pada Peringkat 2 LTdL 2019 serta dua kemenangan lagi pada Peringkat 2 dan 5 LTdL 2020.
Tiga kemenangan di LTdL itu meletakkan Harrif yang juga pakar pecut antara pelumba terbaik negara dalam sejarah arena berbasikal jalan raya Malaysia.
“Perjuangan saya masih belum selesai. Kalau boleh saya mahu meraih lebih banyak kejayaan dalam karier saya khususnya pada perlumbaan LTdL yang diadakan di negara sendiri,” katanya.