Kerajaan menerusi agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan tidak menanggung atau membiayai kos melibatkan delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) termasuk tetamu-tetamunya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
MSN menerusi satu kenyataan yang dikongsikan pada hari menjelaskan duit atau dana daripada kerajaan hanya digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan melibatkan Kontinjen Malaysia serta operasi Malaysia House.
Kontinjen negara pada edisi kali ini terdiri daripada 26 orang atlet serta 40 pegawai merangkumi 15 pakar teknikal, 11 kakitangan sokongan, sembilan pengurusan dan sekretariat serta lima pengurus pasukan.
“MSN hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan membabitkan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House untuk temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.” tulis kenyataan tersebut.
“Kos pembiayaan untuk delegasi Majlis Sukan Olimpik (MOM) adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan.” tambah kenyataan itu lagi.
Terdahulu, kontroversi tercetus selepas orang ramai mempersoalkan kehadiran keluarga Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria di Sukan Olimpik tersebut – dianggap sebagai mengambil kesempatan untuk makan angin atau bercuti menggunakan peruntukan daripada kerajaan.
Bagaimanapun, Norza menerusi laporan media berkata beliau mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu bersamanya ke temasya berkenaan dan menggunakan wangnya sendiri untuk membiayai perbelanjaan keluarganya.
Tidak terhenti setakat itu, ianya bertukar menjadi polemik apabila orang ramai turut mempersoalkan mengenai kuota khas itu tidak digunakan untuk membawa Nova Amanda – jurulatih bagi perseorangan badminton wanita negara yang bergerak secara bebas (independent), Goh Jin Wei.