Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang melangkah setapak lagi ke pusingan berikutnya iaitu Pusingan 1/16 dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba kelahiran Terengganu berusia 36 tahun itu mengesahkan tempat selepas menumpaskan lawannya dari Jerman, Luca Spiegel yang berusia 20 tahun pada pusingan 1/32, sebentar tadi.
Biarpun masih muda, Luca yang berada di ranking ke-25 dunia memberikan tentangan sengit sehingga memaksa Azizul atau nama julukannya, “The Pocket Rocketman” melintasi garisan penamat dengan perbezaan masa 0.075 saat (s) sahaja.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terpaksa beraksi di Pusingan 1/32 Repechages susulan tumpas kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.
Dalam perlumbaan tersebut, Shah tewas dengan perbezaan masa 0.569s.
Sebagai tambahan, Pusingan 1/32 Repechages dijadualkan bermula pada jam 9.30 malam, sebentar nanti.
Manakala pusingan 1/16 pula yang ditandingi oleh Azizul akan bermula pada pukul 11.30 malam.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia