Pelumba basikal trek No.2 negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada acara pecut di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ini berikutan pelumba kelahiran Johor berusia 28 tahun terbabit tewas perlumbaan Pusingan 1/32 Repechage bagi saringan 3 (heat 3) sebentar tadi.
Lebih memilukan, Shah gagal muncul juara bagi perlumbaan itu dengan kekalahan tipis di tangan pelumba Lithuania, Vasilijus Lendel dengan perbezaan masa 0,043 saat (s) sahaja.

Bagi pusingan ini, hanya pelumba yang menamatkan perlumbaan di tempat pertama sahaja layak ke pusingan berikutnya.
Kegagalan ini bermakna hanya jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang muncul pelumba tunggal bagi Kontinjen Malaysia yang mara ke Pusingan 1/16.
Bagaimanapun, penglibatan Shah di Velodrom Nasional Saint-Qunetin-en-Yvelive belum menemui titik noktahnya.
Shah akan turun beraksi dalam satu lagi acara individu iaitu keirin lelaki yang akan bermula pada 10hb Ogos (Sabtu) bermula jam 11.19 malam (waktu Malaysia).
