Olimpik 2024: Aniq Kasdan Terlepas Pingat Gangsa – Beza Angkatan 1kg
Hafiz Omar
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan terpaksa menelan hakikat yang pahit terlepas peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa kategori 61 kilogram (kg) lelaki daripada Sukan Olimpik Paris 2024.
Lebih memilukan, pingat itu terlepas daripada genggaman atlet berusia 22 tahun kelahiran kelahiran Segamat, Johor terbabit selepas jumlah angkatan keseluruhannya hanya berbeza 1 kilogram (kg) berbanding dicatatkan atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris.
Atlet berusia 20 tahun terbabit merekodkan angkatan kesuluruhan berjumlah 298kg hasil daripada menyempurnakan angkatan 126kg dan 172kg dalam disiplin “snatch” dan “clean & jerk” masing-masing.

Manakala Aniq pula mencatatkan angkatan keseluruhan 297kg menerusi percubaan terbaik seberat 130kg dan 167kg menerusi disiplin “snatch” dan “clean & jerk” masing-masing.
Walaupun terlepas peluang untuk merangkul sebarang pingat dan menaiki podium pada penampilan pertamanya di temasya ini, angkatannya itu telah memecahkan rekod peribadinya sebelum ini, berjumlah 296kg.
Bukan itu sahaja, angkatan 297kg itu juga merupakan rekod kebangsaan yang baharu.
Sementara itu, pingat emas dipertahankan oleh atlet China, Li Fabin dengan angkatan seberat 310kg manakala pingat perak pula dibawa pulang oleh atlet jiran tetangga, Thailand, Theerapong Silachai dengan jumlah angkatan 303kg.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia