Penerjun negara yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiket “wild card”, Nur Dhabitah Sabri berhasil menempatkan dirinya ke peringkat separuh akhir bagi acara terjun kategori 3 meter (m) papan anjal.
Atlet berusia 25 tahun kelahiran ibu kota melayakkan diri ke peringkat berkenaan selepas menamatkan pusingan kelayakan dalam kelompok 18 penerjun terbaik daripada 28 peserta yang bertanding.
Dhabitah menghuni kelompok berkenaan di tangga ke-12 selepas mengumpul 283.65 mata daripada lima terjunan yang dilakukannya di Pusat Akuatik, menghampiri lewat tengah malam pada Rabu (waktu Malaysia).

Sementara itu, penerju China, Chen Yiwen mengungguli pusingan kelayakan dengan mengumpul 356.40 mata diikuti dengan Maddison Keeney dari Australia dengan pungutan 337.35 mata.
Manakala atlet Mexico, Aranza Vazquez Montana pula di tempat ketiga dengan kutipan 321.75 mata.
Untuk makluman semua, saingan terjun kategori 3m papan anjal bagi peringkat separuh akhir ini dijadualkan bersambung pada pukul 4 petang (waktu Malaysia) pada 8 Ogos.
Hanya 12 penerjun terbaik daripada peringkat terbabit akan mara ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan pada 9 Ogos nanti.

Featured Image: Instagram Dhabitah