Atlet-atlet Kontinjen Pahang yang membutirkan pingat emas dalam acara individu di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak akan mendapat habuan wang tunai sebanyak RM6,000.
Habuan itu dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pahang sepertimana diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media, pada hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang memberikan insentif sebanyak RM4,000 kepada pemenang-pemenang pingat emas pada temasya edisi lalu.
Wan Rosdy menjelaskan insentif itu dipersetujui untuk dinaikkan sebanyak RM2,000 selepas dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Sementara itu, setiap pemenang pingat emas daripada acara berkumpulan atau berpasukan akan menerima habuan sebanyak RM2,000 bagi setiap seorang – meningkat sebanyak RM1,000 berbanding sebelum ini.
“Peningkatan kadar insentif ini adalah sebagai menghargai komitmen dan usaha gigih para atlet yang telah bersungguh-sungguh berlatih dan berkorban untuk meningkatkan imej Negeri Pahang dan memajukan bidang sukan di negeri ini.” ujarnya.
Temasya SUKMA Ke-21 ini akan membuka tirainya pada 17hb Ogos dan berakhir pada 24hb Ogos mempertandingkan sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan.
Featured Image: Facebook Wan Rosdy Bin Wan Ismail