Skuad bola sepak kebangsaan gagal melakar kemaraan ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, nama Malaysia tidak hilang daripada peringkat tersebut susulan dipilih sebagai gelanggang neutral atau gelanggang sendiri (home) bagi skuad bola sepak Palestin.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) bertindak mencari venue yang sesuai untuk menghadapi aksi kedua bagi Kumpulan B bertemu Jordan susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
Hasil perbincangan antara pihak PFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kata sepakat telah dicapai antara kedua-dua pihak dimana Malaysia bersetuju untuk menawarkan venue neutral buat Palestin.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras telah dipilih untuk melangsungkan perlawanan tersebut yang dijadualkan pada 10hb September 2024 (Selasa).
“FAM menyifatkan ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.” tulis kenyataan rasmi yang disiarkan oleh FAM, pada hari ini.
Pada masa yang sama, FAM turut memaklumkan akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang skuad kebangsaan mereka berada di negara ini.
Untuk makluman, Palestin yang menghuni ranking ke-96 dunia melakar sejarah layak ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia buat julung kalinya selepas muncul naib juara Kumpulan I pada peringkat Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kedudukan itu disahkan selepas Palestin bimbingan Makram Daboud meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7hb Jun lalu.
Selain mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia, kedudukan itu turut memberikan Palestin tiket kemaraan automatik ke saingan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Sebagai rekod, ini bukanlah kali pertama Malaysia menawarkan diri untuk menjadi venue neutral buat pasukan bola sepak.
Sebelum ini, Malaysia telah menjadi venue neutral bagi aksi pertama play-off Kelayakan Piala Dunia 2018 melibatkan Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5hb Oktober 2017.
Featured Image: Palestine Football Association