Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri sekali lagi mengesahkan tempat ke pusingan akhir dalam acara terjun kategori 3 meter (m) papan anjal individu di temasya Sukan Olimpik.
Penerjun berusia 25 tahun itu melakar kemaraan terbaru dalam acara tersebut pada edisi Paris 2024 apabila mengumpul 286.95 mata daripada lima terjunan pada peringkat separuh akhir, sebentar tadi.
Kutipan mata itu meletakkannya pada kedudukan kelapan daripada 18 penerjun yang beraksi pada peringkat separuh akhir.

Untuk makluman, hanya 12 daripada penerjun yang mengumpul mata tertinggi sahaja akan layak ke pusingan akhir.
Mengungguli peringkat separuh akhir ini ialah Chen Yiwen (China), Maddison Keeney (Australia) dan Chiara Pellacani (Mexico) dengan kutipan mata 360.85, 334.70 dan 324.75 masing-masing.
Pusingan akhir terjun 3m papan anjal ini dijadualkan berlangsung bermula jam 9 malam (waktu Malaysia) pada 9hb Ogos (Jumaat).
Pada edisi Tokyo 2020 lalu, Dhabitah menamatkan aksi pusingan acara terjun 3m papan anjal di tempat keempat di belakang Shi Tingmao (China), Wang Han (China) dan Krysta Palmer (Amerika Syarikat) dengan pungutan 326.15 mata.
Featured Image: Instagram Dhabitah