Mengapa Aniq Angkat 174kg? Ini Penjelasan Presiden PABM
August 8, 2024 Hafizuddin Omar

Percaturan kem angkat berat negara terhadap atletnya, Mohamad Aniq Kasdan untuk melakukan angkatan seberat 174 kilogram (kg) pada percubaan kedua ketika sesi disiplin “clean & jerk” di Sukan Olimpik Paris 2024 mengundang kritikan orang ramai.

Sebaliknya, ramai yang berpandangan bahawa Aniq perlu melakukan angkatan seberat sekitar 170kg terlebih dahulu pada percubaan kedua tersebut selepas berjaya menyempurnakan angkatan 167kg pada percubaan pertama.

Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh bekas atlet angkat berat negara yang beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016, Mohd. Hafifi Mansor menerusi Instagram Story selepas berakhirnya acara itu semalam.

Sepertimana ramai ikuti persembahan Aniq secara langsung semalam, atlet berusia 22 tahun terbabit gagal melakukan angkatan 174kg pada percubaan kedua dan ketiganya sekaligus terpaksa akur dengan jumlah angkatan keseluruhan 297kg – dipisahkan 1kg dengan pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Hampton Morris.

Bagaimanapun,  Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat tampil memberikan penjelasan mengenai percaturan dilakukan oleh kem angkat berat kebangsaan terhadap Aniq.

“Untuk pengetahuan semua, saudara Morris dari USA rekod peribadinya bagi ‘clean and jerk’ adalah 178kg, dan dalam latihan, kita lihat potensi Aniq boleh (angkat) 175kg.”

“Maka kita melihat ini adalah (sebagai) percaturan positif jika ada angkatan dan dia hampir melakukan angkatan tersebut.”

“Maka terpaksalah kita melakukan angkatan tersebut.”

“Kalau kita meletakkan 170kg maka saudara Morris akan meletakkan (berat yang) lebih, dan kita juga akan mendapat tempat keempat,” jelas Ayub menerusi satu video  yang dikongsikan di akaun media sosial peribadinya.

View this post on Instagram

A post shared by Sukanz. (@sukanzcom)

Aniq ketika ditemuramah selepas daripada selesainya acara angkat berat bagi kategori 61kg lelaki itu jelas kelihatan kecewa sambil menahan sebak dengan kekalahan tipis untuk merangkul sekurang-kurangnya kilauan pingat gangsa pada penampilan pertamanya di temasya Olimpik.

Bagaimanapun, tinjauan di ruangan komen pada mana-mana media sosial menyaksikan orang ramai memberikan pujian yang menggunung kepada Aniq atas prestasi yang ditonjolkan itu.

Sebagai tambahan, acara bagi kategori terbabit menyaksikan atlet China, Li Fabin mempertahankan pingat emasnya dengan angkatan keseluruhan 310kg manakala pingat perak pula dibawa pulang oleh Theerapong Silachai dari Thailand dengan jumlah angkatan 303kg.

@sukanzcom

Allah tak bagi lagi apa yang saya nak, mungkin ada perancangan yang lebih bagus – komen Aniq Kasdan selepas terlepas pingat gangsta dengan perbezaan angkatan 1kg Video 📽️: hannahyeoh/IG #SukanDiTiktok

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen