Boikot Pesta Bola Merdeka? Fikir Semula Demi Kebaikan Bola Sepak Malaysia – FAM

August 9, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tindakan beberapa kumpulan penyokong termasuk pergerakan Ultras Malaya yang dikatakan mahu memboikot kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024 mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini termasuk dengan laungan boikot oleh beberapa pergerakan ultras dari negeri-negeri merangkap sub-Ultras Malaya seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.

Usaha boikot oleh pergerakan-pergerakan ini dilakukan sebagai tanda protes kepada FAM atas apa yang terjadi terutamanya melibatkan skuad kebangsaan akhir-akhir ini. 

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman meminta kesemua para penyokong skuad kebangsaan, Harimau Malaya, termasuk kalangan pergerakan ultras-ultras untuk memikirkan semula tindakan boikot itu demi kebaikan bola sepak Malaysia.

“FAM menyeru penyokong-penyokong Harimau Malaya yang lain, sama ada secara individu, keluarga atau berkumpulan supaya dapat kekal meneruskan sokongan mereka.”

“Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong sama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan dan para pemain Harimau Malaya pada 4 dan 8 September ini.”

“Tambahan pula, Pestabola Merdeka 2024 ini berlangsung dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu dari 2 hingga 10 September 2024 dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” katanya dalam satu kenyataan dikongsikan kepada pengamal media, pada hari ini.

Antara sebab-sebab pergerakan ultras-ultras tersebut melancarkan boikot sepertimana dikongsikan pada akaun media sosial mereka adalah kes jenayah ke atas pemain-pemain negara yang tidak diselesaikan, perletakan jawatan mengejut Kim Pan-gon, kegagalan ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia dan lain-lain lagi.

Untuk makluman semua, Pesta Bola Merdeka Ke-43 itu nanti akan ditandingi oleh Malaysia, Tajikistan, Lubnan dan Filipina dengan Malaysia selaku tuan rumah telah diundi bertemu Filipina pada aksi pertama.

Juara bertahan, Tajikistan pula akan memulakan aksi pertamanya menentang Lubnan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd