Endrick dos Santos, 29 tahun, kelahiran Brazil yang memiliki kewarganegaraan Malaysia akan mewarnai saingan Liga Vietnam buat seketika waktu.
Perkembangan ini hadir susulan pemain tengah berusia 29 tahun terbabit dipinjamkan oleh kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Ho Chi Minh City FC.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT iaitu Alistair Edwards menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada Ahad.
Pemergian Endrick daripada kancah bola sepak tanah air ini juga merupakan julung kali buatnya sejak beraksi di Liga Malaysia bersama Felcra FC pada tahun 2018.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai kemasukan Endrick dilakukan oleh Ho Chi Minh City setakat ini.
Untuk makluman semua, Ho Chi Minh bimbingan Phung Thanh Puong, 46 tahun, menamatkan saingan V.League 1 musim lalu di tempat keempat.
Pada saat ini, Ho Chi Minh sedang melakukan persiapan untuk menghadapi saingan musim 2024-25 yang akan bermula sekitar pertengahan September nanti.
Sementara itu, Alistair turut mengesahkan seorang lagi pemainnya, Fergus Tierney merangkap pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) yang berdarah campuran dipinjamkan kepada kelab Liga Thai 2 iaitu Chonburi FC.
Tierney telah pun melakukan debutnya bersama kelab berjulukan The Sharks berkenaan selain membuka akaun jaringan gol dalam kancah Liga Thai 2.
Featured Image: Football Association of Malaysia