The Pocket Rocketman Serah Baton Kepada Shah Firdaus

August 12, 2024
Basikal

Hafiz Omar

Jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang atau digelar “The Pocket Rocketman” seakan-akan memberikan bayangan untuk berundur atau bersara selaku pelumba basikal trek profesional kebangsaan.

Menerusi satu hantaran di laman sosialnya pada hari ini, Azizul atau turut mesra dengan panggilan Jijoe memaklumkan menyerahkan baton kepada pelumba basikal trek No.2 kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Bagaimanapun, pelumba berusia 36 tahun berasal dari Dungun, Terengganu itu menyatakan dengan jelas samada penyerahan baton itu sebagai titik akhirnya bergelar pelumba basikal trek ataupun tidak.

Dalam hantaran yang sama, Jijoe turut menghamburkan ucapan tahniah kepada Shah susulan kejayaan memasuki pusingan akhir perlumbaan keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jijoe menyifatkan ianya merupakan satu penampilan prestasi yang cemerlang oleh Shah berbanding terkandas di peringkat suku akhir pada temasya Olimpik 2020.

Tambahan pula, Shah turut menampilkan kayuhan yang hampir-hampir menjelmakan pingat gangsa buat Kontinjen Malaysia sebelum dihimpit pada selekoh terakhir dan jatuh di atas trek. 

“Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.”

“Paling penting adalah untuk menggunakan 4 tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.” katanya.

Terdahulu, Jijoe tidak terpaksa akur dibatalkan penyertaannya pada pusingan 1 saringan (heat) 1 dalam acara keirin di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines atas kesalahan memintas “derny” atau “pacer” sebelum ianya meninggalkan trek.

Menurut laporan media, Azizul memaklumkan mempunyai beberapa perancangan selepas daripada ini termasuk terus berlumba dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Namun begitu, buat masa ini, Azizul mahu berehat serta meluangkan masa bersama keluarganya.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd