8 Rekod Dunia Baharu Yang Mendapat Perhatian Di Sukan Olimpik Paris 2024
August 12, 2024 Hafizuddin Omar

Sukan Olimpik Kali Ke-33 yang berlangsung di Paris, Perancis bermula 26hb Julai lalu menutup tirainya pada 11hb Ogos 2024.

Temasya yang mempertandingkan 329 acara melibatkan 10,500 atlet daripada lebih 200 kontinjen seluruh dunia itu menyaksikan Amerika Syarikat dan China berkongsi kutipan pingat emas terbanyak – 40 butir masing-masing.

Namun begitu, Amerika Syarikat muncul selaku pemenang pingat terbanyak secara keseluruhan, 126 butir, diikuti China dengan kutipan 91 butir pingat.

Disamping itu, temasya yang berlangsung selama 19 hari (bola baling, bola sepak dan ragbi bermula dari 24hb Julai) memperlihatkan pelbagai rekod dunia baharu ditempa dan berikut adalah lapan rekod yang mendapat perhatian ramai:

#1 Harrie Lavreysen – 9.088s (Pecut Individu)

Harrie Lavreysen dari Belanda boleh dinobatkan sebagai raja basikal trek bagi Sukan Olimpik Paris 2024 apabila membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara pecut berpasukan, pecut individu dan keirin individu.

Namun begitu, Harrie, 27 tahun turut menempa satu rekod dunia yang baharu pada temasya ini apabila melakukan kayuhan sepantas 9.088 saat (s) ketika pusingan kelayakan acara tersebut.

Menariknya, rekod tersebut dilakar beberapa minit selepas pelumba Australia, Matthew Richardson merekodkan kayuhan 9.091s – memecahkan rekod dunia terdahulu dilakukan oleh pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul pada tahun 2019.

#2 Pasukan Belanda – 40.949s – (Pecut Berpasukan)

Pasukan basikal trek Belanda bagi acara pecut berpasukan yang terdiri daripada Harrie Lavreysen, Roy van den Berg dan Jeffrey Hoogland bukan sahaja merangkul pingat emas Olimpik dua kali berturut-turut dalam acara ini selepas menumpaskan pasukan Great Britain dalam perlawanan akhir.

Bukan itu sahaja, pasukan Belanda ini turut mencetak dua rekod dunia ketika bertanding dalam acara ini. Pertamanya, trio ini mencetak rekod dunia pada pusingan 1 apabila mencatatkan kayuhan 41.191s – memecahkan rekod 41.225s dilakukan oleh mereka sendiri ketika beraksi di Kejohanan Dunia UCI di Berlin, Jerman pada tahun 2020.

Tidak terhenti setakat itu, trio Belanda ini merekodkan satu lagi catatan masa yang menakjubkan apabila merekodkan kayuhan 40.949s – julung kalinya di bawah 41s – pada pusingan akhir tersebut sekaligus mengesahkan kedudukan pertama di podium Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines.

#3 Armand “Mondo” Duplantis – 6.25m (Lompat Bergalah)

Atlet lompat tinggi dari Sweden, Mondo Duplantis mencipta sensasi di pelbagai platform media sosial apabila percubaan terakhirnya setinggi 6.25 meter (m) dalam acara lompat tinggi berjaya dilepasinya.

Lompatan itu bukan sahaja membolehkan alet berusia 24 tahun ini mempertahankan pingat emas Olimpik yang dimenanginya pada edisi di Tokyo 2020 lalu bahkan turut memecahkan rekod dunia yang diciptanya sendiri pada April lalu.

Rekod lamanya yang dicipta itu adalah setinggi 6.24m – disempurnakan ketika bertanding dalam Liga Berlian di Xiamen, China.

#4 Sydney McLaughin-Levrone – 50.37s (400m Berpagar)

Pelari wanita Amerika Syarikat, Sydney McLaughin-Levrone berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara 400 meter (m) wanita berpagar di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memenanginya pada edisi di Tokyo 2020.

Bertambah manis, kilauan pingat emas dalam acara tersebut turut diiringi dengan Sydney mencipta satu rekod dunia baharu apabila melintasi garisan penamat dengan catatan masa 50.37 saat (s) – memecahkan rekod dunia yang diciptanya sendiri, 50.65s, pada 30 Jun lalu di kejohanan Kelayakan Olimpik Amerika Syarikat, Eugene, Oregon.

#5 Kuartet Campuran Amerika Syarikat – 3:07.41 (4x400m Campuran Berganti-Ganti)

Ini merupakan kali kedua acara 4×400 meter (m) campuran berganti-ganti dipertandingkan di temasya Olimpik selepas debut pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada edisi kali ini, kuartet Amerika Syarikat yang terdiri daripada Vernon Norwood, Shamier Little, Bryce Deadmon dan Kaylyn Brown mencipta rekod dunia dalam acara ini apabila melakukan larian sepantas 3:07.41 pada pusingan 1 dalam saringan (heat) 1.

Catatan masa itu memecahkan rekod dunia terdahulu yang dilakukan oleh kuartet Amerika Syarikat terdiri daripada Justin Robinson, Rosey Effiong, Matthew Boling dan Alexis Holmes – 3:08.80 – dilakukan ketika beraksi di Kejohanan Dunia World Athletics 2023 di Budapest.

Bagaimanapun, kuartet Amerika Syarikat tidak dapat membawa pulang pingat emas daripada acara ini di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tewas kepada Belanda pada perlumbaan akhir sekaligus terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat perak sahaja.

#6 Karlos Nasar – 404kg (Kategori 89kg Lelaki)

Atlet angkat berat berusia 20 tahun, Karlos Nasar menambah satu lagi koleksi pingat emas dalam kariernya apabila muncul pemenang kategori 89 kilogram (kg) lelaki di Sukan Olimpik selepas muncul meraih kejuaraan dalam kategori 81kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021.

Bertambah manis, pingat emas yang dimenangi Karlos itu turut diiringi dengan namanya sebagai dua pemegang rekod dunia baharu bagi kategori tersebut. 

Yang pertama adalah angkatan seberat 224kg dalam disiplin “clean & jerk” yang memecahkan rekod dunia yang dilakukannya sendiri,223kg, di Doha, Qatar. 

Keduanya, Karlos jumlah angkatan keseluruhannya ketika bertanding di Sukan Olimpik dalam acara berkenaan, 404kg, turut menjadi rekod dunia baharu berikutan mengatasi rekod terdahulu yang dilakukan oleh atlet China, Li Dajin seberat 396kg – dicipta semasa Kejohanan Angkat Berat Asia di Republik Korea pada tahun 2023.

#7 Pan Zhanle – 46.40s (100m Gaya Bebas)

Kemenangan perenang dari China, Pan Zhanle dalam acara 100 meter (m) gaya bebas dengan catatan masa 46.40 saat (s) mencetuskan sensasi di internet dan media sosial apabila jurulatih yang tidak terlibat dengan Kontinjen Australia, Brett Hawke mendakwa rekod itu “tidak mungkin mampu dilakukan oleh manusia.”

Catatan masa itu menjadi rekod dunia baharu apabila ianya lebih pantas 0.20s berbanding rekod terdahulu, 46.80s, yang turut dicipta oleh Zhanle, 20 tahun, ketika beraksi di Doha, Qatar pada Februari 2024.

#8 Lim Si-Hyeon – 694 Mata (Memanah Individu Wanita)

Atlet memanah berusia 21 tahun dari Republik Korea, Li Si-Hyeon memecahkan rekod berusia lima tahun yang dipegang oleh Kang Chae-Yong apabila mengumpul 694 daripada 720 mata dalam pusingan penentuan ranking kategori wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Chae-Young melakukan panahan dan mengumpul 692 mata pada dalam kejohanan yang disertainya pada Jun 2019.

Penyertaan Si-Hyeon pada Olimpik kali ini bukan sahaja membawa pulang catatan rekod dunia pada namanya bahkan turut membutirkan pingat emas dalam acara ini apabila mengatasi rakan senegaranya, Nam Su-Hyeon dalam perlawanan akhir dengan keputusan 7-2.

Komen