Beregu lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin masih berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat masa ini dan masih menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) seperti biasa.
Itu yang dikongsikan oleh Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky ketika ditemui oleh pengamal media, pada hari ini.
“Mereka juga akan ke Terbuka Jepun dan Terbuka Korea dengan kami,” tambah Rexy lagi.

Kedua-dua kejohanan bertaraf Super 750 dan Super 500 terbabit dijadualkan berlangsung dari 20hb – 25hb Ogos dan 27hb Ogos – 1hb September masing-masing.
Bagaimanapun, Rexy serta Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh ambil maklum mengenai niat gandingan No.13 dunia itu mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara sendirian (independent) sepertimana dilaporkan oleh Buletin TV3, semalam.
Kenny menjelaskan bahawa BAM akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Ahli Majlis badan induk berkenaan dalam masa terdekat sebelum memberikan pengesahan ataupun ulasan terhadap niat Sze Fei-Izzuddin tersebut.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia