Ranking Keirin: Shah Naik 8 Anak Tangga Selepas Sukan Olimpik
August 14, 2024 Hafizuddin Omar

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firduas Sahrom merekodkan peningkatan yang memberasangkan selepas berhasil meloloskan diri ke pusingan akhir acara keirin individu di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi kemaskini terbaharu oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pelumba berasal dari Muar, Johor itu dilihat merekodkan kenaikan sebanyak lapan anak tangga sekaligus meletakkannya pada kedudukan ke-13 dalam Ranking Keirin Individu Dunia.

Kenaikan itu dipacu oleh pertambahan 650 yang dikutipnya selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam pusingan akhir yang menyaksikan pelumba Belanda, Harry Lavreysen muncul sebagai pemenangnya.

Sementara itu, jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaannya pada pusingan 1 selepas didapati memotong “derny” atau “pacer” meninggalkan trek perlumbaan sepenuhnya jatuh sebanyak empat anak tangga.

Ia menjadikan pelumba yang turut digelar sebagai “The Pocket Rocketman” itu terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia dan menghuni kedudukan ke-12 dunia – satu anak tangga di atas Shah.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

Komen