Manchester United Ikat Matthijs de Ligt – Kontrak 5+1
Hafiz Omar

Kelab yang menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kelapan pada musim lalu, Manchester United memperkukuhkan barisan pertahanannya dengan mengikat pemain Belanda yang memenangi Anugerah Budak Emas 2018 iaitu Matthijs de Ligt.
Kedatangan pemain berusia 25 tahun itu dari Bayern Munich diumumkan secara rasmi oleh Manchester United di laman sesawang serta pelbagai hantaran di platform-platform media sosialnya, hari ini.
Dimaklumkan, pemain yang menjuarai Liga Belanda, Liga Itali serta Liga Jerman itu menandatangani kontrak bersama skuad berjulukan “Red Devils” selama lima tahun dengan pilihan lanjutan selama setahun.
Ini bermakna kelibat De Ligt menyarung jersi merah dan berseluar putih di Stadium Old Trafford dapat disaksikan para penyokongnya sekurang-kurangnya sehingga Jun 2029.
Mengulas mengenai perpindahannya, De Ligt memaklumkan dirinya berasa teruja apabila Manchester United mahukan khidmatnya dimana dia berpeluang untuk mengharungi cabaran bersama kelab yang cukup bersejarah ini.
Selain itu, De Ligt juga tidak sabar untuk bergabung dan bekerja semula dengan pengurus Manchester United, Erik Ten Hag – individu yang membentuknya ketika permula kariernya.
Tidak cukup dengan menghadirkan De Ligt, Manchester United turut mengikat seorang lagi pertahanan dari Bayern Munich iaitu Noussair Mazraoui – tonggak yang membantu Maghribi mencetak kemaraan sulung ke peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022.
Manchester United mengikat khidmat Mazraoui, 26 tahun, sehingga Jun 2028 – kontrak berdurasi empat tahun berserta pilihan lanjutan selama setahun.
Sebagai rekod, ini merupakan pemain baharu ketiga dan keempat ditandatangani oleh Manchester United pada jendela perpindahan musim panas menjelang saingan musim 2024-25 selepas mengikat Joshua Zirkzee dan Leny Yoro dari Bologna dan Lille masing-masing.
Featured Image: Manchester United