Wan-Bissaka Sertai West Ham United – Kontrak Hingga 2031
August 14, 2024 Hafizuddin Omar

Bek kanan berusia 26 tahun, Aaron Wan-Bissaka tidak lagi bergelar pemain Manchester United.

Sebaliknya, bekas graduan akademi Crystal Palace itu bergelar pemain bagi  kelab berpangkalan di London iaitu West Ham United.

Kelab berjulukan “The Hammers” mengumumkan kedatangan Wan-Bissaka menerusi pengumuman di laman sesawang rasmi serta hantaran di pelbagai platform media sosialnya, pada Selasa.

Dimaklumkan, Wan-Bissaka menandatangani kontrak jangka masa panjang berdurasi tujuh tahun – kekal bersama West Ham United sehingga tahun 2031.

Ketika memperkenalkan Wan-Bissaka, West Ham United turut mendedahkan pemain berketinggian 1.83 meter ini terus menyarung jersi bernombor 29 – nombor yang sama disarungnya ketika bersama skuad “Red Devils” dan Crystal Palace. 

Untuk makluman semua, Wan-Bissaka menyertai West Ham United bimbingan Julen Lopetegui selepas tampil sebanyak 190 kali dalam tempoh lima musim bersama Manchester United.

Dalam tempoh itu juga, kehadiran Wan-Bissaka telah membantu Manchester United menjulang trofi Piala Liga 2023 dan Piala FA 2024.

Kelibat Wan Bissaka bersama West Ham United dijangkan dapat disaksikan buat pertama kalinya apabila “The Hammers” turun menghadapi Aston Villa pada aksi pertama Liga Perdana 2024-25 di lamannya sendiri, Stadium London, pada Ahad (18 Ogos).

Featured Image: Manchester United

Komen