Undian ACL2: Naib Juara Piala FA Korea Mungkin Lawan Selangor FC Peringkat Kumpulan
August 15, 2024 Hafizuddin Omar

Naib juara Piala FA Korea 2023, Jeonbuk Hyundai Motors berkemungkinan menjadi salah satu kelab yang akan dihadapi oleh Selangor FC pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang akan bermula bulan hadapan.

Ini selepas kelab berkenaan diletakkan dalam Balang 1.

Turut mengisi balang itu dan berpotensi menjadi lawan bagi Selangor FC adalah pasukan No.3 Liga Jepun, Sanfrecce Hiroshima;  pasukan No.3 Liga China, Zhejiang FC dan naib juara Liga Thailand, Bangkok United sebelum berlangsungnya majlis undian bagi kejohanan berkenaan, 16 Ogos (Jumaat).

Sementara itu, Selangor FC atau nama julukannya, Gergasi Merah diletakkan dalam Balang 2 ditemani pasukan ketiga Liga Thai, Port FC; juara Piala Australia, Sydney FC dan juara Liga Vietnam, Nam Dinh FC.

Manakala Balang 3 pula terdiri daripada Lee Man (Hong Kong), Kaya FC-Iloilo (Filipina), Lion City Sailors FC (Singapura) dan Muangthong United (Thailand).

Akhir sekali, mengisi Balang 4 ialah Eastern FC (Hong Kong), Dynamic Herb Cebu FC (Filipina), Tampines Rovers FC (Singapura) dan Persib Bandung (Indonesia).

Saingan ACL2 akan mengguna pakai format sama seperti Liga Juara-Juara (ACL) atau Piala AFC edisi lalu dimana kesemua kelab-kelab dari rantau asia timur di atas akan diundi untuk mengisi Kumpulan E, F, G dan H.

Hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja akan mara ke Pusingan 16.

Untuk makluman semua, majlis undian bagi ACL2 akan berlangsung bermula jam 3 petang (Jumaat) bertempat di Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur.

Featured Image: Selangor FC

Komen