
Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang menduduki tangga tercorot Liga Super 2024-25 kehilangan penyerang importnya dari Guinea-Bissau iaitu Valdumar Augusto Te.
Menerusi satu perkongsian oleh kelab berjulukan Kijang Emas itu, kontrak semasa penyerang berusia 27 tahun itu bersama KDN FC menemui titik noktahnya.
Pada masa yang sama, pihak pengurusan mendedahkan perpisahan melibatkan mereka dan Valdumar berikutan pemain itu akan menyertai sebuah kelab yang beraksi dalam kancah bola sepak Libya.
Bukan itu sahaja, keputusannya meninggalkan KDN FC turut dipengaruhi oleh kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan skuad bimbingan Park Jae-hong.
Sejak menyertai KDN FC sekitar pertengahan April lalu, Valdumar telah tampil dalam sembilan perlawanan termasuk satu perlawanan Piala FA peringkat Pusingan 16 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan dicetak mahupun bantuan gol dijana oleh Valdumar daripada sembilan penampilan bersama KDN FC.
Sebagai rekod, Valdumar menjadi pemain import kedua bertindak meninggalkan KDN FC pada musim ini selepas Chadrack Lukombe Muzungu dari Congo muncul yang pemain import pertama berbuat demikian pada penghujung Julai lalu.
Untuk makluman, sekiranya KDN FC mahu mencari pengganti kepada dua pemain import tersebut, mereka boleh mendapatkan pemain baharu ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka dari 26 Ogos kelak.
Featured Image: Kelantan Darul Naim FC