Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Dinaikkan Pangkat Jadi Pengarah Teknikal
August 16, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan kedua tercorot Liga Super, Negeri Sembilan FC selepas mengharungi tujuh perlawanan musim 2024-25 kini mempunyai ketua jurulatih baharu.

Perkembangan ini hadir selepas pihak pengurusan skuad Hobin Jang Hobin melakukan penstrukturan semula melibatkan barisan kejurulatihan bagi memastikan kelab kekal berdaya saing dalam kancah Liga Super.

Menurut kenyataan rasmi oleh pihak kelab pada Khamis, jawatan ketua jurulatih bagi skuad utamanya akan digalas oleh K. Nanthakumar – sebelum ini merupakan penolong ketua jurulatih – berkuat kuasa serta-merta.

Nanthakumar akan dibantu oleh Efendi Abdul Malek – dahulunya memegang jawatan Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC – selaku penolong ketua jurulatih yang baharu serta K. Rajan.

Sementara itu, Megat Amir Faisal akan kembali menggalas tugas sebagai jurulatih penjaga gol bagi skuad utama.

Perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC bimbingan Nafuzi Zain pada Sabtu di Stadium Darul Aman, Alor Setar menjadi tugasan pertama Nanthakumar selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan.

Manakala ketua jurulatih sebelum ini, Azzmi Ab Aziz pula dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal menggantikan Efendi Abdul Malek.

Untuk makluman semua, Negeri Sembilan kini menghuni tangga ke-12 Liga Super hasil meraih tiga mata menerusi kemenangan tunggal ke atas Sri Pahang FC pada 13hb Julai.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

Komen