Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan kembali semula ke Malaysia.
Kepulangan semula jurulatih berusia 55 tahun berkenaan adalah untuk membimbing kelab baharunya, Ulsan HD beretap menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pertembungan itu terhasil selepas selesainya undian bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024-25 yang mengguna pakai format baharu di Kuala Lumpur, pada hari ini.
Selain itu, JDT yang muncul juara Liga Super sepuluh kali berturut-turut turut diundi menentang dua lagi kelab dari Republik Korea iaitu Pohang Steelers dan Gwangju FC yang merupakan dan juara dan pemenang tempat ketiga K-League 1 musim 2023.
Sementara itu, JDT bimbingan Hector Bidoglio akan bertemu tiga buah kelab dari China iaitu Shanghai Port FC dan Shandong Taishan FC selaku juara dan naib juara Liga Super China (CSL) dan Shanghai Shenhua FC yang merupakan juara Piala FA China.
Manakala baki dua pasukan yang akan dihadapi oleh JDT berjulukan Harimau Selatan di Peringkat Liga ialah Central Coast Mariners dan Buriram United dari Australia dan Thailand masing-masing.
Untuk makluman semua, JDT akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan menentang Buriram United, Pohang Steelers dan Shanghai Shenhua selain daripada Ulsan HD.
Empat lagi perlawanan lain akan berlangsung di laman lawannya masing-masing.
Sebagai tambahan, saingan Peringkat Liga sebanyak lapan perlawanan ini akan berlangsung dari 17hb – 18hb September 2024 sehingga 18hb – 19hb Februari 2025.
Penyertaan JDT di Peringkat Liga ACLE ini sahaja akan memberikan mereka habuan sebanyak AS$800,000 oleh penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Featured Image: Ulsan HD