JDT Nak Sertai Piala Sultan Selangor?
August 19, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab yang meraih gelaran “double quadruple” dalam kancah bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu menyertai kejohanan Piala Sultan Selangor?

Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab berjulukan Harimau Selatan, DYAM Tunku Mahkota Ismail dilihat meninggalkan komen pada satu hantaran di sebuah akaun media sosial milik portal bola sepak tempatan menyatakan minat untuk menyertai kejohanan persahabatan tersebut.

Bagaimanapun, minat itu diiringi dengan persoalan sinis, adakah kejohanan itu diiktiraf oleh badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)?

“FIFA iktiraf tak piala piala ni?”

“Kalau iktiraf nak join (sertai),” tulis baginda di ruangan komen pada hantaran yang bertajuk Selangor Julang Trofi Ke-3 Era Nidzam Jamil.

Piala Sultan Selangor: Faisal Beraksi 45 Minit, Ronnie & Alvin Pastikan Kejuaraan Selangor

Pada Sabtu lalu, Pilihan Selangor bimbingan Nidzam Jamil yang dibarisi pemain-pemain Selangor FC berjaya merangkul kejuaraan Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka selepas menumpaskan Pilihan Singapura dengan keputusan 2-1.

Kemenangan itu disumbangkan menerusi jaringan oleh pemain Chile dan Cape Verde, Ronnie Fernandez dan Alvis Fortes masing-masing. Manakala gol tunggal Pilihan Singapura pula hadir menerusi Faris Ramli.

Sebelum itu, Selangor FC bimbingan Nidzam Jamil berhasil merangkul dua trofi iaitu kejohanan pramusim, Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 dan kejohanan jemputan, RCTI Premium Sports di Jakarta.

Untuk makluman semua, kejohanan Piala Sultan Selangor dianjurkan sebagai mengingati perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam kancah Liga Malaysia suatu masa dahulu selain memperkukuhkan ikatan dari kedua-dua negeri dan negara yang terlibat.

Featured Image: Selangor Royal Office

Komen