Tiada Had Guna Pemain Import Dalam ACL2 – CEO Selangor FC
August 19, 2024 Hafizuddin Omar

Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang menggantikan saingan Piala AFC selaku kejohanan antarabangsa tier 2 bagi kelab-kelab di benua asia bukan sahaja hadir dengan wajah dan trofi baharu bahkan peraturan melibatkan penggunaan pemain asing atau import.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memaklumkan bahawa pihaknya difahamkan oleh penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bahawa pasukan yang bertanding boleh menggunakan pemain import tanpa had.

Bagaimanapun, Johan memaklumkan skuad bimbingan Nidzam Jamil tidak berhajat untuk memaksimumkan penggunaan pemain import bagi beraksi dalam saingan ACL2.

Sebaliknya, beliau mengharapkan kelabnya yang berjulukan Gergasi Merah dapat mempertaruhkan kombinasi terbaik melibatkan pemain import dan tempatan bagi menghadapi ACL2 yang dijadualkan bermula 18hb-19hb September kelak.

“Kami difahamkan untuk ACL2 ni tiada limit (had) untuk pemain asing,”

“Ya, sudah tentu (perkara ini) sesuatu yang kami boleh ambil kelebihannya, seperti yang kita katakan bakat yang kita ada dalam kalangan pemain tempatan sangat baik, jadi kita nak tengok apa kombinasi terbaik antara pemain asing dan tempatan,”

“Setakat ini coach Nidzam berpuas hati dengan apa yang dia ada, kita akan pakai apa yang kita ada setakat ini, kita tak perlu maksimumkan kuota, kelab sengat gembira dengan apa yang kita ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian ACL2 pada Jumaat.

Sesi undian tersebut menyaksikan Selangor FC diundi ke dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Liga Korea, Jeonbuk Hyundai Motors FC dan Muangthong United FC serta Dynamic Herb dari Thailand dan Filipina masing-masing.

Merujuk kepada Pendaftaran Pemain dalam dokumen Peraturan-Peraturan Pertandingan ACL2, setiap kelab yang bertanding perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya 18 pemain atau maksimum 25 pemain.

Setiap kelab dibenarkan mendaftarkan sehingga 23 orang pemain asing atau import manakala baki dua slot lagi khusus untuk pemain berstatus “Homegrown Player”. 

Terdapat dua kategori “Homegrown Player” iaitu “Club-Trained” atau “Association-Trained” dimana setiap kelab boleh mendaftarkan maksimum seorang sahaja pemain berkategori pemain “Association-Trained”.

Selangor FC kini mempunyai sembilan pemain import iaitu Ronnie Fernandez, Alvin Fortes, Yohandry Orozco, Safuwan Baharudin, Noor Al-Rawabdeh, Alex Agyarkwa, Umar Eshmuridov, Reziq Banihani dan Ali Olwan.

Sebagai tambahan, peraturan ini turut diguna pakai dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ALCE) yang disertai oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Featured Image: Selangor FC

Komen