Negeri Johor Umum Cuti Peristiwa 25 Ogos – Hargai Peminat Sempena Piala FA
August 20, 2024 Hafizuddin Omar

Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan 25hb Ogos (Ahad) nanti sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor, demikian pengumuman oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

Cuti tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan beraksi pada perlawanan akhir Piala FA 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24hb Ogos (Sabtu).

Dimaklumkan, pengisytiharan cuti tersebut dibuat atas perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik skuad berjulukan Harimau Selatan tersebut.

“Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil hari Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini.” kata Onn Hafiz dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Perlawanan akhir Piala FA edisi ke-34 pada Sabtu nanti akan menemukan JDT selaku juara bertahan dengan Selangor FC.

JDT bimbingan Hector Bidoglio akan meraih gelaran hatrik Piala FA sekiranya berjaya merakamkan kemenangan pada edisi ini selepas muncul juara dua kali berturut-turut pada edisi 2023 dan 2022.

Terdahulu, JDT berhasil mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 5-1 secara agregat.

Manakala Selangor FC pula mara dengan menumbangkan finalis edisi lalu, Terengganu FC dengan keputusan 6-4 secara agregat.

Featured Image: Facebook Onn Hafiz Ghazi

Komen