ACLE: Johor Darul Ta’zim Ada Kejutan Untuk Kim Pan-gon
August 20, 2024 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan beraksi buat kali keenam dalam kejohanan antarabangsa tier 1 bagi kelab-kelab di benua asia iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) atau dahulunya dikenali sebagai Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Salah satu pasukan yang akan ditemui skuad berjulukan Harimau Selatan pada musim ini ialah UIsan HD atau nama lamanya, Ulsan Hyundai yang kini dibimbing Kim Pan-gon – bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Bercakap mengenai pertembungan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards berkata kelabnya tidak berasa risau dengan kehadiran Pan-gon yang cukup mengenali sebahagian besar pemain-pemain skuad kebangsaan yang membarisi JDT.

Pada masa yang sama, pemain-pemainnya turut mengenali corak, gaya serta pendekatan jurulatih berusia 55 tahun terbabit.

“Saya fikir ianya (bersifat) dua hala, ramai pemain-pemain skuad kebangsaan mengenalinya, tiada sebarang kejutan bagi perkara tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian ACLE pada Jumaat lalu.

Namun begitu, Alistair memaklumkan pihaknya mempunyai kejutan untuk Pan-gon iaitu melibatkan pemain asing atau import baharu yang ditandatangani JDT sejak penghujung Julai lalu.

“Satu-satunya kejutan adalah melibatkan pemain-pemain asing (import) kami, dimana satu perkara yang dia tidak ketahui,” tambahnya lagi.

Antara pemain-pemain import baharu yang ditandatangani JDT ialah Park Jun-Heong (Republik Korea), Christian Abad (Sepanyol), Enzo Lombardo (Perancis), Eddy Israfilov (Azerbaijan) dan Iker Undabarrena (Sepanyol).

Untuk makluman semua, saingan ACLE membolehkan kelab-kelab yang menyertainya menggunakan pemain asing atau import seramai 23 orang.

Berdasarkan rekod, kedua-dua kelab pernah bertembung sebanyak empat kali sebelum ini di pentas ACL dan JDT mempunyai rekod cemerlang dengan berhasil meraih tiga kemenangan ke atas Ulsan HD daripada empat pertemuan tersebut.

Sementara itu, tiga buah kelab lain yang akan dihadapi JDT pada Peringkat Liga di SSI ialah Pohang Steelers FC (Korea), Shanghai Shenhua FC (China) dan Buriram United FC (Thailand).

Manakala empat kelab lagi yang terdiri daripada Shanghai Port FC, Shandong Taishan FC (China), Central Coast Mariners FC (Australia) dan  Gwangju FC (Korea) akan dihadapi di tempat lawan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen