Pasukan yang berpangkalan di Borneo, Sabah FC mendapatkan khidmat penyerang import baharu dari Brazil bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2024-25.
Pemain yang diikat oleh skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu ialah João Pedro Boeira Duarte yang berusia 24 tahun kelahiran Pelotas, Brazil.
Kedatangan João dimaklumkan secara rasmi oleh Sabah FC menerusi hebahan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Menurut pihak kelab, João diikat dengan kontrak selama sembilan yang menyaksikannya kekal bersama Sabah FC sehingga 30hb April 2025.
Kehadirannya adalah untuk menggantikan pemergian Ramon Machado yang kini beraksi bersama Araz-Nakhchivan PFK dalam kancah Liga Perdana Azerbaijan.
Untuk makluman, sebelum menyertai Sabah FC, João beraksi dalam saingan Liga Vietnam bersama Viettel FC dari Mac 2024.
Sebelum daripada itu, kariernya bertumpu di negara kelahirannya sahaja iaitu Brazil.
Bagaimanapun, Sabah FC hanya dapat menggunakan khidmat João apabila didaftarkan semasa jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia dibuka bermula dari 26hb Ogos hingga 22hb September 2024 kelak.
Featured Image: Viettel FC