Liga Pro Saudi 2024-25 Benar Daftar 10 Pemain Import

August 21, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Saingan Liga Pro Saudi (SPL) 2024-25 akan membuka tirainya bermula 23hb Ogos nanti dengan pertemuan Al Taawoun menentang Al Fayha pada jam 12.10 tengah malam (waktu Malaysia).

Menariknya, saingan musim baharu kancah bola sepak Arab Saudi itu turut menampilkan beberapa perubahan melibatkan beberapa perkara terutamanya daripada segi kuota pemain asing atau import dan saiz skuad.

Pertamanya, setiap kelab yang beraksi dalam SPL dibenarkan untuk mendaftarkan sehingga sepuluh pemain asing atau import – meningkat dua slot berbanding musim lalu.

Bagaimanapun, dua daripada sepuluh slot itu mestilah diisi dengan pemain yang lahir pada tahun 2003 atau selepasnya bagi merangsang pelaburan dalam bakat muda.

Keduanya, skuad untuk hari perlawanan (matchday squads) yang terdiri daripada 20 pemain mestilah merangkumi penyenaraian sekurang-kurangnya 11 pemain Arab Saudi.

Ketiganya, SPL menetapkan saiz skuad bagi setiap kelab dikurangkan daripada 30 kepada 25 pemain sahaja.

Difahamkan, perubahan ini dilakukan selepas mengadakan mesyuarat koordinasi dengan pihak sokongan strategi kelab, pihak pengurusan skuad kebangsaan dan Pengarah Teknikal Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) termasuk menjalankan beberapa bengkel dengan kelab-kelab. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd