Pesta Bola Merdeka: Pau Marti Panggil Semula 4 Pemain JDT, Faisal Halim Tak Tersenarai
August 21, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan yang akan mengharungi Pesta Bola Merdeka Edisi Ke-43 pada 4hb dan 8hb September kelak kembali dibarisi empat tonggak daripada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menerusi pengumuman oleh pemangku ketua jurulatih, Pau pada hari ini, empat pemain tersebut ialah Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Keempat-empat pemain ini tidak dipanggil dalam kem skuad kebangsaan pada Mei dan Jun lalu berikutan ditimpa kecederaan.

Antara lain yang dipanggil semula ialah Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Darren Lok (Sabah FC), Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC) dan Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC).

Sementara itu, penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim tidak tersenarai biarpun telah mula mendapat minit permainan bersama kelabnya sejak akhir-akhir ini.

Tidak dilupakan, dua pemain yang beraksi di Liga Thailand dan Vietnam iaitu Dion Cools (Buriram United) dan Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC) turut dipanggil oleh Pau. 

Manakala 16 pemain lagi adalah pemain yang sama dipanggil semasa aksi menentang Republik Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada Mei dan Jun lalu.

Untuk makluman semua, Malaysia akan memulakan kempen Pesta Bola Merdeka dengan menentang Filipina yang berada di ranking ke-147 dunia terlebih dahulu.

Sekiranya meraih kemenangan, Malaysia akan menanti di perlawanan akhir untuk bertemu samada juara bertahan, Tajikistan atau Lubnan yang berada di posisi ke-116 dunia.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen