Piala Shopee: PKR Svay Rieng Tumbangkan Terengganu FC Di Gong Badak
August 21, 2024 Hafizuddin Omar

Naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC memulakan kempen Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2024-25 dengan langkah kiri.

Ianya bermula dengan tewas kepada Preah Khan Reach Svay Rieng FC (PKR Svay Rieng) dari Kemboja.

Lebih mendukacitakan, langkah kiri itu dilakar di halamannya sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, pada hari ini.

Kekalahan itu bermula dengan gawang Terengganu FC yang dikawal oleh Suhaimi Husin bocor dek jaringan Gabriel Silva seawal minit 12.

Berselang empat minit kemudian, gawang itu dibolosi sekali lagi menerusi jaringan oleh Pablo Carvalho dimana kedudukan 0-2 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Terengganu FC bimbingan Tomislav Steinbruckner tampil dengan persembahan yang lebih meyakinkan sekaligus berhasil menjelmakan gol pertamanya menerusi Manuel Ott pada minit 55.

Perlawanan kian rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari jaringan tambahan namun Terengganu FC dilihat lebih memberikan ancaman kepada gol lawannya menerusi beberapa percubaan oleh Safawi Rasid, Engku Shakir dan Chukwu Chijoike.

Tatkala melakukan serangan dengan rancak, pasukan pelawat bimbingan Pep Munoz menyentak Terengganu FC sekali lagi apabila percubaan oleh Min Ratanak yang masuk sebagai pemain gantian masuk ke dalam gawang menjadikan kedudukan 1-3.

Bagaimanapun, Terengganu FC tidak menyerah kalah dan meneruskan permainannya untuk mencari jaringan tambahan sehinggalah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Wong Wai Lun pada penghujung waktu permainan yang sebenar.

Sepakan penalti itu mudah disempurnakan oleh Safawi bagi menjadikan kedudukan semasa 2-3 pada minit 90+1.

Namun begitu, kedudukan tersebut kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel permainan sekaligus membuatkan Terengganu FC terpaksa akur tewas aksi pembukaan di tangan PKR Svay Rieng FC.

Keputusan itu menjadikan Terengganu FC menduduki tempat kelima dalam Kumpulan A.

Perlawanan berikutnya, Terengganu FC akan melayan kunjungan Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam pada 25hb September 2024.

Featured Image: Terengganu FC

Komen